Pasukan yang baharu ditubuhkan pada awal tahun ini tersebut turut membawa masuk tiga pelumba luar negara iaitu Dylan Page dari Switzerland, Jesse Ewart (Australia) dan Mario Vogt (Jerman) untuk mencapai misi itu.

TSC mengekalkan lima daripada enam pelumba tempatan musim 2017 iaitu Muhamad Zawawi Azman, Muhsin Al Re­dha Misbah, Fitri Saharil, Akmal Hakim Zakaria dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil selain Aiman Cahyadi dari Indonesia dan dua pelumba Colombia Wilmar Jahir Perez dan Victor Nino Corredor.

Bercakap di sini hari ini, Pengurus TSC Mohd. Sayu­ti Mohd. Zahid yakin sasaran itu mampu dicapai selepas menempatkan diri dalam kelompok 30 teratas kalendar UCI Asia tahun ini selain muncul pasukan terbaik Jelajah Malaysia 2017.

“Kita sudahpun memulakan persiapan untuk 2018. Perlumbaan pertama untuk musim depan ialah Jelajah Indonesia pada Januari, pada Februari kita akan ke Turki sebelum kembali ke Asia untuk Le Tour de Langkawi dan Jelajah Taiwan sebelum kembali ke Eropah.

“Buat masa ini pasukan memang mantap, dengan lima pelumba TSC bagi 2017 telah meraih enam podium. Jika diberi pendedahan yang cukup, mereka mampu melangkah lebih jauh. Pelan jangka masa panjang kami ialah untuk mencapai status Pro Benua dan seterusnya beraksi di Tour de France dalam masa enam tahun lagi,” katanya.

Mohd Sayuti berkata selain meraih kedudukan 20 teratas, TSC juga mempunyai misi untuk membantu pelumba tempatan meraih mata kelayakan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 serta Sukan Olimpik Tokyo 2020. – BERNAMA