Katanya, walau apa pun niat Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia (INASGOC) 2018 itu, telah memberi persepsi negatif terhadap Indonesia yang nampak cuba menipu demi kepentingan untuk mendominasi temasya itu yang dijadual berlangsung kira-kira setahun dari sekarang.

“Bagi saya secara peribadi saya agak kecewalah, Tindakan itu tidak berintegriti. Kalau kita menganjurkan sukan komuniti (seperti Sukan Asia) ini, jika kita boleh sesuka hati tukar begitu sahaja, tidak nampak keikhlasan dalam menjadi tuan rumah.

“Ini acara yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, Jadi patut kekal dipertandingkan sebab tujuan temasya sukan seperti ini ialah untuk mengeratkan hubungan antara negara dan mencungkil bakat baharu.

“Bukannya untuk (tujuan) cuba mendominasi tetapi menipu dengan cara seperti menggugurkan acara dan sebagainya,” kata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 29 tahun itu.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA Ke-29 itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan INASGOC yang mendapat restu Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk menggugurkan acara keirin, 200 meter pecut dan pecut berpasukan daripada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang.

Azizulhasni bagaimanapun lega apabila mendapat tahu INASGOC dan OCA bersetuju berunding semula dan berharap perkembangan terbaharu itu bukanlah propaganda semata-mata untuk tidak menyenaraikan semula tiga acara lumba basikal pecut itu.

“Mungkin itu berita awal, hanya propaganda atau sebagainya. Tetapi saya berharaplah mereka (penganjur Sukan Asia) dapat mengekalkan acara yang digugurkan itu sebab saya percaya banyak negara (di Asia) tidak bersetuju dengan tindakan itu,” tegasnya.

Serentak dengan itu, Azizulhasni turut mengesahkan bahawa dia akan bertanding dalam dua acara iaitu keirin dan 200 meter pecut bukan sahaja dalam Sukan Asia pada Ogos tetapi juga Sukan Komanwel pada April tahun depan.

“Tetapi kalau dua acara itu digugurkan daripada Sukan Asia 2018, saya hanya akan tumpu kepada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia sahaja,” jelasnya.