Malah, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman juga tanpa berselindung telah membayangkan atlet berusia 22 tahun itu, akan mengambil alih tempatnya selepas dia bersara daripada sukan berbasikal kelak.

“Sudah tentu Shah Firdaus adalah teman latihan yang baik dan pada masa yang sama saya cuba bimbing dia secara langsung atau tidak langsung supaya suatu hari nanti dia akan mengambil alih tempat saya. Saya pun bukan hendak berkayuh selama-lamanya.

“Ada sesetengah atlet apabila nampak cabaran, mereka akan mula bermusuh tetapi bagi saya tidak perlu. Macam masa saya dengan Josiah (Ng) dulu. Kita saling bersaing masa latihan dan pertandingan tapi kita kawan ketika di luar, sampai sekarang pun kami masih kawan baik,” katanya.

Berdasarkan ranking terkini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), juara keirin dunia di Hong Kong baru-baru ini, kini menghuni tangga keempat dunia berbanding sebelum ini di tangga ke-13, manakala Muhammad Shah Firdaus jatuh satu anak tangga ke tangga kelima.

Menurut Azizulhasni, sebagai rakan sepasukan mereka perlu mencipta persekitaran atau persaingan yang positif jika ingin terus kekal konsisten sama ada ketika latihan mahupun pertandingan.

Katanya, beliau juga mahu melihat Muhammad Shah Firdaus menghasilkan prestasi cemerlang setiap penampilannya. – Bernama