Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini menyerahkan se­narai 18 pelumba yang akan beraksi di Sukan Asia bagaimanapun nama pelumba elit negara dari Terengganu itu tidak berada dalam senarai.

Pengurus pasukan, Firdaus Arshad berkata, perkara tersebut diputuskan ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley yang tidak berpuas hati dengan prestasi Fatehah dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
“Saya dapat tahu keputusan ini semalam dan jurulatih akan memaklumkan perkara ini kepada Fatehah.

“Kami menetapkan sasaran satu pingat emas dalam acara pecut lelaki dan saya berpuas hati dengan jumlah yang disenaraikan selepas beberapa kali membuat rayuan,” katanya selepas Mesyuarat Pemilihan Sukan Asia, di sini hari ini.

Sebelum ini, pelumba yang menjalani latihan intensif di Melbourne itu berada dalam senarai awal untuk acara pecut individu, keirin dan pecut berpasukan wanita.
Dalam pada itu, Firdaus berkata, daripada senarai pelumba berkenaan, 11 atlet termasuk beberapa atlet program podium diletakkan dalam kategori A (perbelanjaan ditaja sepenuhnya) manakala baki tujuh atlet dalam acara lepas beramai-ramai, ujian masa individu dan BMX berada di bawah kategori B (perbelanjaan ditanggung sendiri).

“Latihan pusat akan dibuat beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kita akan mengadakan perbincangan dengan kesemua pelumba mengenai perancangan latihan bersama antara skuad trek dan lebuh raya.
“Kita juga masih belum dapat tentukan sama ada ia akan dilakukan di luar atau dalam negara,” katanya.