Pada saingan suku akhir berdepan Natasha Hansen dari New Zealand di Anna Meares Velodrome, pelumba berusia 29 tahun itu yang tewas pada pusingan pertama, hampir memenangi pusingan kedua, sekali gus mengheret ke perlumbaan penentuan, namun terpaksa akur apabila tayar basikal Hansen terlebih dahulu melintasi garisan penamat.

“Selepas kalah pusingan pertama, jurulatih John Beasley memasang strategi agar saya memulakan perlumbaan dari belakang dan membuat pecutan di pusingan akhir. Semasa tinggal satu lagi pusingan, saya memang yakin dapat menewaskan Natasha tapi apa boleh buat, rezeki bukan milik saya.

“Apa yang penting, saya hendak teruskan perjuangan untuk acara seterusnya, 500m ujian masa esok dan keirin pada Ahad,” katanya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu, berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan kayuhannya hari ini dan mengakui semakin bersemangat untuk meneruskan perlumbaan dalam dua lagi acara.

“Saya harap dapat menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat terutama dalam acara keirin. Itu sasaran saya. Untuk acara 500m ujian masa, saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Fatehah mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menamatkan saingan di tempat ke-11 dengan catatan 11.142 saat pada pusingan kelayakan, sebelum berjaya menewaskan pelumba dari Wales Rachel James pada pusingan penyingkiran.

Seorang lagi pelumba trek wanita negara, Farina Shawati Adnan juga layak ke pusingan penyingkiran selepas berada di kedudukan ke-15 dengan catatan 11.586s

Bagaimanapun Farina Shawati gagal menandingi pelumba dari Kanada Lauriane Genest pada pusingan penyingkiran.– BERNAMA