Program berbasikal lasak yang menuntut peserta mendaki dan menuruni bangunan Paya Bunga (PB) Square dan PB Plaza di pusat bandar raya ini dianjurkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Seramai 200 peserta mengambil bahagian dalam enam kategori yang dipertandingkan iaitu Terengganu Closed Amatur (30 - 39 tahun), Heavyweight (90 kilogram ke atas), Master Open (36 tahun ke atas) yang membabitkan tiga pusingan dengan setiap pusingan sejauh 2.6 kilometer diikuti Junior Open (18 tahun ke bawah) lima pusingan.

Terengganu Close Amatur pula membabitkan 10 pusingan bagi kayuhan melalui ruang parkir di dua blok bangunan yang bersambung dengan jejantas itu.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Zubir Embong.

Yang hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.

Menurut Mohd. Zubir, ekoran sambutan positif yang diterima maka program itu akan dijadikan acara tahunan dalam merealisasikan hasrat Terengganu muncul sebagai The Land of Cyclist.

Sehubungan itu, pihaknya merancang untuk meluaskan penyertaan pada tahun depan dengan menjemput peserta antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelumba luar negara dalam program tersebut.

"Saya difahamkan acara lumba basikal dalam bangunan pernah diadakan di Singapura tetapi cabarannya tidak sengit seperti yang diadakan di sini," kata Mohd. Zubir. - UTUSAN ONLINE