Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, kain rentang Solidariti LTdL 2017 itu dihasilkan oleh gabungan persatuan, kelab-kelab di jabatan kerajaan negeri, sekolah serta badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau memberitahu, usaha itu juga dilakukan sebagai tanda sokongan kerajaan negeri kepada pasukan basikal Terengganu, TSG yang akan menyertai perlumbaan berprestij itu selain memeriahkan sambutan Tahun Melawat Terengganu 2017.

“Ini merupakan kain rentang terpanjang yang pernah dihasilkan dan setelah siap nanti akan dipamerkan di laluan LTdL,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kain rentang itu di pekarangan Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut mengisytiharkan Mac ini sebagai Bulan Sukan Negeri Terengganu 2017 yang sarat dengan pelbagai penganjuran acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, ini termasuklah Sukan Berkuda Piala Menteri Besar Terengganu, Sukan Pantai Asia selain kejohanan motocross antarabangsa. - UTUSAN ONLINE