Perlumbaan yang berlangsung di Jalan Bandar Baru Sameriang di sini menyaksikan Mohammad Nur Aiman Mohd. Zariff menjadi pemenang emas pertama Terengganu daripada acara berbasikal apabila memenangi ujian masa perseorangan lelaki.

Menamatkan perlumbaan de­ngan catatan masa 56 minit 17.75 saat telah cukup untuk memastikan pingat emas menjadi miliknya dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer itu.

“Alhamdullilah, saya begitu gembira kerana berjaya menyumbang pingat emas pertama basikal kepada Terengganu.

“Ini merupakan catatan terbaik saya setakat ini dan saya sasarkan tiga lagi pingat emas dalam acara kriterium (60km), ujian masa berpasukan (80km) dan lepas beramai-ramai,” katanya.

Pelumba Johor, Eiman Firdaus Mohd. Zamri ketinggalan 9.73 saat untuk berpuas hati dengan pingat perak manakala rakan sepasukannya Muhammad Nur Aiman Rosli meraih ganga.

Sementara itu, ujian masa individu wanita sejauh 30km dikuasai sepenuhnya oleh Terengganu yang memenangi tempat 1-2. Nur Aisyah Mohammad Zubir mencatat masa 42 minit 49.64 saat untuk menewaskan Aimi Iwasaki Muhammad Moritoshi manakala gangsa diraih pelumba Pahang, Siti Aisyah Alias.