Ketika ini Malaysia sudah mengumpul lima pingat emas dengan terbaharu satu daripada kem berbasikal trek negara yang dihadiahkan oleh Mohd. Azizulhani Awang selepas mengungguli acara pecut individu lelaki akhir, hari ini.

Kata Syed Saddiq, keyakinannya bahawa sasaran tujuh emas mampu dicapai berikutan ada beberapa sukan yang belum memulakan saingan akhir seperti pelayaran dan skuasy.

“Hari ini Mohd. Azizulhasni telah menjadi wira buat negara dan ini juga hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

“Sekiranya segalanya berjalan lancar, saya jangkakan pingat emas tersebut akan hadir menerusi acara pelayaran, keirin dan mungkin akan ada tambahan pingat menerusi skuasy berpasukan,” kata Syed Saddiq ketika ditemui pemberita di Velodrome Antarabangsa Jakarta, sini, hari ini.

Kontinjen negara ketika ini masih memerlukan dua lagi pingat emas dengan tumpuan bakal diberikan dalam pelayaran serta skuasy.

Sekiranya sasaran tujuh pingat emas dapat direalisasikan maka ia akan mengatasi pencapaian Sukan Asia 2014 di Incheon yang menyaksikan Malaysia menamatkan kempen dengan lima pingat emas, 14 pingat perak dan 14 pingat gangsa.