Mohamad Syazwan ketika ditemui berkata, kejayaan merangkul pingat emas dalam temasya dwitahunan, bulan lalu membuktikan dia mampu memberikan yang terbaik kepada negara.

“Pingat emas ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk meneruskan kecemerlangan di peringkat antarabangsa sekali gus menjulang nama Malaysia di peringkat yang lebih tinggi.

“Selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika sesi latihan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada 7 September lalu, prestasi saya masih di tahap baik dan ia sekali gus membuktikan saya mampu membuka mata masyarakat dunia menerusi penglibatan di kejohanan lebih besar,” katanya ketika ditemui di kediamannya semasa kunjungan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Chong Sin Woon, di Lenggeng semalam.

Mengulas lanjut, pelumba berusia 20 tahun yang dilahirkan cacat kedua belah tangan sejak lahir itu turut menaruh harapan untuk bersaing dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Jaguh kelahiran Labu, Negeri Sembilan itu berkata, dia perlu berusaha lebih keras untuk bersaing dengan rakan senegara bagi merebut tempat, sekali gus terpilih untuk menyertai kedua-dua kejohanan berprestij itu.

“Setiap anggota pasukan perlu bersaing sesama sendiri bagi memastikan terpilih menyertai kem negara dan pelumba yang menang dalam setiap perlumbaan kecil akan mendapat 10 mata.

“Apabila digabungkan kesemua mata yang diperoleh, baru ada pemilihan untuk melihat siapa yang layak menyertai kejohanan tersebut,” katanya.

Dalam Sukan Para ASEAN Ke-9 baru-baru ini, Mohamad Syazwan menewaskan rakan senegara, Muhammad Adie Raimie Amizazahan (perak) dan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin (gangsa) bagi kategori C1, C2, C3 dalam acara yang berlangsung di Dataran Putrajaya. - UTUSAN ONLINE