Bukan berlagak kerana sudah bergelar jaguh dunia tetapi hasratnya itu lebih memberi peluang kepada rakyat negara ini menyaksikan sendiri bagaimana dia beraksi dalam acara yang te­lah menjulang namanya.

“Saya dikhabarkan akan bertanding dalam dua acara (keirin dan 200 meter pecut). Mungkin selepas ini saya berhasrat bertanding dalam acara keirin sahaja. Ini lebih kepada untuk memberi peluang seluruh rakyat Malaysia melihat saya beraksi di Malaysia dan di velodrom berkelas dunia di Nilai.

“Memang susah untuk dapat beraksi di depan penyokong sendiri. Jadi saya rasa Sukan SEA adalah tempat terbaik buat rakyat Malaysia menyaksikan kayuhan saya secara langsung di depan mata mereka,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran penyertaannya dalam program #DARETODREAM anjuran Air Asia yang merupakan satu inisiatif syarikat penerbangan tambang murah itu memberi ins­pirasi kepada atlet muda untuk berjaya dalam sukan.

Di bawah program tersebut, Azizulhasni akan ditaja tiket penerbangan percuma untuk menyertai mana-mana pertan­dingan di dalam dan luar negara selama empat tahun sehingga Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun selain mengendalikan klinik basikal yang dianjurkan Air Asia.

Sementara itu, Azizulhasni berkata, hasratnya untuk me­nyertai satu acara sahaja di Sukan SEA 2017 turut didorong oleh matlamat untuk memberi peluang kepada pelumba muda negara menyinar pada temasya dwitahunan itu.

“Ketika ini tinggal saya seorang sahaja pelumba yang be­tul-betul senior manakala yang lainnya masih muda dan kurang berpengalaman di peringkat dunia. Jadi dengan peluang yang ada di Sukan SEA nanti, mereka boleh membina masa depan karier mereka dengan lebih cerah,” tambah Azizulhasni.