Mat Sport
Mat Sport

Bukan apa, sejak 2007 lagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah diibaratkan sebagai bapa dengan memberikan duit belanja kepada syarikat pengendali untuk memastikan LTdL berlangsung secara lancar. Jadi sudah tiba masa­nya kejohanan berstatus Hors itu berdikari.

Kalau betul benda ini berlaku, bermakna buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun LTdL akan berdiri sendiri tanpa tajaan daripada kerajaan selepas kali terakhir First Cartel mengendalikannya pada 2006.

Pengendali baharu LTdL 2018 dikatakan sudah mula mendapat penajaan daripada syarikat besar dan hanya me­nunggu masa untuk membuat pengumuman rasmi mengenainya tidak lama lagi.

Seingat Mat, sejak 2012 lagi Mat pernah terdengar LTdL ini akan berdiri sendiri, tetapi Mat tak sangka perlu menunggu hingga lima tahun lamanya.

Tapi tak apa, sekurang-kurangnya kebergantungan itu berakhir juga tahun depan dan bolehlah geran peruntukan KBS nanti disalurkan kepada pembangunan sukan berbasikal.

Mat belum boleh nak ucapkan tahniah kepada syarikat baharu itu, kerana segala-galanya masih di peringkat awal dan biasanya kalau ‘bersembang’, pokok pun boleh goyang. Tapi Mat yakin perkara ini boleh berlaku.

Kalaulah penganjuran LTdL tahun depan tanpa dana kerajaan, sudah tentu banyak syarikat yang memberi tajaan. Dan kalau banyak syarikat memberi tajaan, sudah tentu banyak faedahnya, pasti meriah.

Apa pun Mat harap satu hari nanti LTdL akan kembali ternama sama seperti LTdL mula-mula berlangsung di bumi Malaysia pada 1996 dengan banyak pasukan gergasi menyertai. Sebab ini khazanah kita, LTdL juga merupakan antara penyebab Malaysia menonjol dikenali dunia.