Daripada 26 emas yang ditawarkan secara keseluruhannya, pelumba negara menang 22 daripadanya atau sebanyak 84.6 peratus. Pencapaian ini jauh melepasi sasaran awal yang diletakkan iaitu 10 emas sahaja.

Persiapan rapi yang dilakukan sejak dua tahun yang lalu menjadi kunci kepada penguasaan hampir 100 peratus ini selain pemilihan pelumba yang tepat dan sesuai mengikut keupayaan kategori kecacatan yang dipertandingkan.

Semuanya hasil perancangan yang sistematik, sokongan kuat kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), pasukan sains sukan yang komited serta penyediaan basikal dan peralatan yang terbaik untuk pelumba.

Ini diakui pengurus pasukan negara Mohd. Asri Abdul Mubin yang mengakui Malaysia berada dalam kelas tersendiri dalam perkara ini.

“Saya percaya, sukan berbasikal para kini sudah berada di landasan tepat jika sokongan seperti ini dapat diteruskan semua pihak yang terbabit terutama dalam mencapai hasrat untuk layak buat kali pertama ke Sukan Paralimpik 2020 secara merit,” katanya, merumuskan kejayaan berbasikal dalam Sukan Para ASEAN 2017.

Seperkara lagi yang negara boleh banggakan, katanya, adalah kemunculan pelumba muda berbakat besar seperti Mohd. Najib Turano dan Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais yang hanya memerlukan lebih dua bulan sahaja berlatih secara serius sebelum masing-masing mampu menyumbang empat emas.

Jurulatih Mohd. Johari Nayan pula tidak terkejut dengan pencapaian ini kerana kekuatan pelumba kita telah diiktiraf berada dalam kelompok enam negara yang terbaik di dunia.

“Berdasarkan catatan masa yang dibuat pelumba para kita sahaja, ada yang sudah hampir dengan kepantasan pelumba normal,” katanya.

Dari segi teknologi dan kecanggihan basikal yang digunakan, tidak dinafikan turut menyumbang kepada kejayaan pelumba negara dan ini dibuktikan oleh Alvin Lim yang menang dua emas menerusi acara ujian masa individu dan lepas beramai-ramai lelaki (lebuh raya) kategori H1-H5 (basikal tiga roda kayuh tangan).