Untuk itu jurulatihnya, Mohd. Firdaus Daud optimis skuad kendaliannya mampu memberikan kejutan dan saingan sengit.

Jelasnya, hasrat ber­kenaan adalah mengambil kira ke­lebihan skuadnya yang beraksi sebagai tuan rumah dengan pelbagai kemudahan yang lebih memihak kepada atlet negara.

“Daripada lima pelumba, kita jangkakan sebutir pingat emas iaitu daripada Jupha Somnet dalam acara trek omnium wanita, namun kita harap dapat beri kejutan dengan tiga pingat emas.

“Impian positif itu pas­tinya kerana kita sebagai tuan rumah selain kemudahan Velodrom Nasional yang baharu dibina,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Sementara itu, vete­ran lumba basikal negara, Shaharudin Jaffar berkata, tidak mustahil bagi skuad basikal negara untuk mendominasi acara itu jika mereka memberikan azam yang tinggi.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika ada kemampuan dan azam, segalanya tidak mustahil dan mereka mesti boleh berjaya. Itu nasihat saya sebagai bekas pelumba dan jurulatih.

“Zaman saya dulu, tidak ada jurulatih, peralatan dan latihan yang saintifik, namun masih boleh memberikan pi­ngat. Oleh itu, terserah kepada peserta untuk mempamerkan kebolehan,” katanya.