Mohamad Nur Aiman Mohd. Zariff mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu selepas mencatatkan masa 43 minit, 53.128 saat (s) meskipun beraksi dalam keadaan demam.

Rakan sepasukannya, Muhammad Shaiful Adlan Mohd. Shukri memenangi perak setelah me­lakukan catatan masa 44:52.161s manakala gangsa menjadi milik Selangor menerusi Muhsin Al Redha Misbah yang mencatat masa 45:35.035s.

“Selepas pulang daripada Sukan Asia 2018 saya mengalami demam teruk dan hanya sempat menjalani latihan selama dua minggu. Memang saya tidak jangka dapat mempertahankan emas ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aiman yang merupakan pelumba Team Sapura Cycling berkata dia menerima suntikan semangat selepas melihat kecemerlangan skuad berbasikal wa­nita Terengganu yang turut memenangi emas menerusi Nur Aisyah Mohamad Zubir selepas melakukan catatan masa 44:57.36s.

Perak turut menjadi milik Terengganu selepas Nurul Najihah Inan A. Aziz melakukan catatan masa 47:30.954s manakala gangsa milik Yeong Zhen Yi dari Wilayah Persekutuan (49:29.641s).

“Semangat saya tiba-tiba bangkit selepas menyaksikan penguasaan skuad wanita dalam acara ini pada sebelah pagi dan saya bertekad untuk mengetepikan rasa sakit saya akibat demam.

“Insya-Allah saya akan cuba memenangi pingat emas acara lepas beramai-ramai esok dan seterusnya satu pingat dalam acara trek,” katanya lagi.