Bermula dengan kejayaan Muhammad Adi Raimie Amizazahan dalam acara 1 kilometer ujian masa lelaki kategori C1, C2 dan C3, penguasaan skuad basikal trek para negara tidak mampu disekat lagi selepas itu apabila satu demi satu emas hadir dalam genggaman.

Adi, 17, dalam penampilan pertamanya dalam Sukan Para ASEAN, muncul sebagai pemenang pingat emas pertama temasya kali ini dan juga untuk kontinjen negara selepas menewaskan rakan senegara Moh. Yusof Hafizi Shaharuddin di tempat kedua dan pelumba Singapura, Tan Hun Boon ketiga.

Catatan masa yang dibuatnya iaitu satu minit, 17.232 saat dalam perlumbaan itu juga merupakan rekod peribadi terbaiknya selain boleh dianggap sebagai rekod baharu kebangsaan. Catatan peribadi terbaiknya sebelum ini adalah 1:18.00.

“Saya pernah beraksi dalam sirkit Piala Dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat sebelum ini tetapi hanya mampu mencatat 1:22s sahaja. Kali ini saya melakukan lebih baik,” katanya.

Emas kedua hari ini adalah bonus yang disumbang Mohd. Najib Turano dalam acara satu kilometer ujian masa lelaki kategori C4 selepas menewaskan rakan senegara Mohd. Hafiz Jamali di tempat kedua dan pelumba Indonesia, Mohd. Fadli Imammuddin ketiga.

Zuhairie Ahmad Tarmizi kemudian menepati ramalan dengan memenangi emas ketiga negara menerusi acara 1km ujian masa lelaki C5 dengan menewaskan pelumba Filipina, Arthus Eustaquio Bucay yang menang perak dan pelumba Indonesia, Sufyan Saori yang menang gangsa.

Zuhairie mencatat masa terpantas iaitu 1:09.690s, jauh mengatasi catatan masa Arthus yang berada hampir enam saat di belakangnya.

Sementara itu, penyumbang terbesar pingat emas hari ini adalah pelumba buta apabila Muhammad Afiq Afifiy Rizan dan Nur Azlia Syafinaz masing-masing menyumbang dua emas kepada kontinjen negara.

Afiq yang bergandingan dengan pelumba pilot normal, Muhammad Khairul Adha Rasol mengungguli acara 200 meter pecut lelaki pada sebelah pagi dan acara 1km ujian masa lelaki pada sebelah petang.

Dalam acara 200 meter pecut, Afiq/Khairul menewaskan rakan senegara Mohd. Amin Najmi Romzi/Mohd. Firdaus Mohd. Zonis dalam perlumbaan akhir manakala gangsa menjadi milik pelumba buta Singapura, Jensen Ng Hang Siew/Calvin Sim.

Dalam acara 1km ujian masa pula, Afiq/Khairul menewaskan pemenang perak dan gangsa yang sama.

Seperti Afiq, Azlia juga menang acara yang sama tetapi dalam kategori wanita buta apabila gandingannya bersama Noraidillina Adilla J. Sam berjaya menewaskan pelumba Singapura, Emily Lee/Sarah Tan Hui Zhen dalam perlumbaan akhir acara 200 meter pecut manakala gangsa milik satu lagi gandingan pelumba negara Nur Syahida Tajudin/Nur Rozi Yanti Mat Rodzi.

Bagaimanapun dalam acara 1km ujian masa pada sebelah petang, Azlia/Adilla menang emas selepas menewaskan Syahida/Rozi yang menang perak manakala gangsa menjadi milik Emily/Sarah dari Singapura.