Bekas pelumba pasukan benua Pegasus Continental Cycling Team itu yang meraih emas dalam acara ujian masa individu pada edisi 2015 di Singapura, yakin dapat meraih emas walaupun hanya acara ujian masa berpasukan sahaja dipertandingkan pada kali ini.

“Memang sasaran saya untuk pertahan emas dalam acara ujian masa dan cabaran saya lihat mungkin datang dari Malaysia dan Thailand kerana sering bertemu pelumba mereka dalam beberapa kejohanan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya skuad berbasikal Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Robin yang pernah meraih dua emas pada edisi 2013 di Myanmar, bagaimanapun tidak meletakkan sasaran khusus dalam dua lagi acara yang bakal disertainya iaitu lebuh raya dan kriterium.

“Saya pernah datang di Nilai pada 2012 untuk menyertai pertandingan, jadi mungkin sudah biasa dengan laluannya dan sebelum ke Malaysia, latihan fokus di Indonesia sahaja kerana permukaan tidak jauh beza dengan di Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus Skuad Berbasikal Indonesia, Suwandra yakin Robin mampu membantu pasukan berkenaan mencatat keputusan positif pada temasya sukan dwitahunan tersebut menerusi pengalaman luas pelumba berkenaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Suwandra yang merupakan bekas pelumba kebangsaan Indonesia berkata, barisan pelumba mereka telah menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lepas di tanah air mereka bagi menghadapi saingan pada kali ini.

“Kami tiba awal di Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan medan kejohanan di Nilai kerana ada di antara mereka pertama kali beraksi di Malaysia,” kata Suwandra. – BERNAMA