Najib meraih emas dalam acara 1km ujian masa dan 4,000m kejar-mengejar lelaki (trek) serta ujian masa individu dan lepas beramai-ramai lelaki (lebuh raya) kategori C4 manakala Azlia/Adilla menang emas menerusi acara 200m pecut, 1km ujian masa dan 3,000m kejar-mengejar wanita (trek) serta lepas beramai-ramai tandem wanita (lebuh raya) kategori buta.

Sudah pasti imbuhan lumayan yang disediakan Majlis Sukan Negara (MSN) di bawah Skim Hadiah Kemenangan (Shakam) yang sudah lama diperkenalkan sama seperti atlet normal menanti mereka selepas berakhir Sukan Para ASEAN Ke-9 yang akan menutup tirai Sabtu ini.

Namun bagi pelumba basikal trek dan lebuh raya negara itu, mereka tidak pernah terfikir untuk mendapat insentif sebanyak itu ketika ditanya pemberita apa yang akan dilakukan dengan wang tersebut.

“Saya sendiri tidak percaya mampu menghasilkan empat emas sekali gus. Jika betul saya akan dapat wang sebanyak itu saya bersyukur kerana hasil usaha keras saya selama ini.

“Kalau boleh saya mahu membawa ibu bapa saya me­nunaikan umrah,” katanya.

Azlia, yang akan berbahagi dua insentif tersebut bersama Adilla, turut menyatakan hasrat untuk membawa keluarganya menunaikan umrah.

tetapi menegaskan dia hanya fokus kepada acara yang disertainya tanpa mengira boleh mendapat pingat atau pun tidak.

“Saya tidak terfikir soal insentif kerana yang lebih penting ialah menang dahulu kerana saya percaya selepas itu imbuhan akan datang sendiri tanpa perlu dicari-cari,” katanya.

Di bawah Shakam yang meliputi atlet normal dan para secara sama rata, emas pertama dalam temasya sukan peringkat Asia Tenggara akan menerima insentif RM20,000 dan setiap satu emas berikutnya akan menerima RM10,000.