Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengumumkan pemberian kerajaan negeri berjumlah RM100,000 kepada pasukan negeri ini yang berjaya menyarung jersi kuning dalam kejohanan berprestij itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula memberitahu, kementeriannya akan turut memberi ganjaran dengan jumlah yang sama sebagai penghargaan kerana mengharumkan nama negara.

Ahmad Razif dan Khairy membuat pengumuman itu dalam Majlis Peletakan Batu Asas Komplek Velodrom Terengganu benrilai RM12 juta yang kemudiannya dinamakan Velodrom Azizulhasni Awang  di sini hari ini.

Azizulhasni, jaguh pecut dunia itu turut menerima ganjaran berupa sebuah kediaman atas kecemerlangannya dalam dunia sukan berbasikal daripada kerajaan negeri di samping insentif  bantuan pembelian peralatan basikal bernilai RM100,000.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam. - UTUSAN ONLINE