Baginda yang juga peminat sukan berbasikal menyifatkan sukan itu berupaya menjadi ‘lombong emas’ bagi acara trek dan peluang itu perlu direbut bagi mengumpul kilauan emas untuk negara.

Menurut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika bertemu pasukan berbasikal Malaysia yang kini menjalani latihan di Velodrome, Darebin International Sports Centre, Melbourne, Australia.

Baginda yang juga Pengerusi YTSP turut menasihati para pelumba supaya tidak mengambil sebarang ubatan atau makanan tambahan yang mungkin mengandungi dadah kerana ia akan memberi kesan buruk kepada pelumba itu sendiri.

"Sukan SEA yang akan berlangsung di Malaysia Ogos ini bukanlah satu-satunya yang menjadi sasaran. Mereka harus pergi lebih jauh daripada itu dengan membawa slogan ‘Malaysia Boleh’ sehingga ke kejohanan bertaraf dunia," titah baginda.

Raja Muda Perlis juga berharap velodrom tertutup di Nilai yang baharu dibina akan membawa harapan negara dan rakyat terutama para peminat acara itu. – BERNAMA