Jelas pelumba berusia 29 tahun itu, dia tidak menyangka dapat menaiki podium pertama menerusi catatan masa 3 jam 8 minit 6 saat, memandangkan ramai lagi pencabar lain yang hebat memburu kemenangan pada perlumbaan sejauh 132.8 kilometer tersebut.

Tempat kedua pula dihuni Saufi Mat Senan dari Sitra Kelantan (KEL), manakala seorang lagi pelumba TSG, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki ketiga, yang masing-masing turut berkongsi tempoh masa dengan Hariff.

“Rasa macam tak percaya. Sebab sebelum berlumba, ramai yang bersemangat nak menang. Saingan tadi pun sangat pantas. Saya hanya kekal fokus dan mengikut kelompok pertama agar tidak ketinggalan. Tidak seperti peringkat pertama dan kedua, banyak pecahan.

“Lagi pun pasukan bertaraf Benua seperti Pishgaman Cycling Team tiada, jadi setiap pelumba berpeluang untuk menang. Saya anggap ini rezeki saya. Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan TSG,” ujar Hariff selepas tamat perlumbaan.

Gelaran juara keseluruhan (jersi kuning) yang menjadi buruan setiap pelumba dimenangi oleh Brendon Davids dari Oliver’s Real Food Racing (OLI) setelah unggul menerusi catatan masa 16:34.16s, sementara rakan sepasukannya, Ryan Thomas pula meraih jersi kelabu (pelumba muda terbaik).

Dalam pada itu, jersi hijau (raja pecut) diraih oleh pelumba TSG, Nur Amirul, manakala jersi polka-dot (raja bukit) milik Wilmar Jahir Perez Munoz dari Team Sapura Cycling (TSC) dan rakan sepasukannya, Zawawi Azman memenangi jersi merah (pelumba terbaik Malaysia).

“Ini jersi kuning pertama saya selaku juara keseluruhan sejak bergelar pelumba profesional. Saya sangat bangga kerana Malaysia menjadi sejarah dalam karier saya.

“Sebelum ini, saya sekadar pelumba pelapis. Jadi dengan kejayaan ini sekurang-kurangnya ia telah mencantikkan profile saya untuk masa hadapan,” kata Davids.