Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, mengikut perancangan asal nama juara dunia itu disenaraikan untuk menyertai acara keirin dan pecut kepada Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA dan telah pun diluluskan.

“Di pihak PKBM, kita memang tiada masalah untuk memenuhi hasrat Azizulhasni itu tetapi sebaiknya dia berbincang dengan MSN memandangkan matlamat kita adalah untuk meraih banyak emas dalam acara basikal trek ini.

“PKBM berpandangan kalau Azizulhasni boleh mencadangkan pengganti sesuai untuknya dalam acara pecut, ia bukan masalah besar. Tetapi jika tanpa Azizulhasni, sasaran 13 emas kita boleh terjejas, saya rasa dia harus mempertimbangkan semula hasratnya itu,” kata Abu Samah ketika dihubungi hari ini.

Ketika ini Muhammad Shah Firdaus Shahrom dilihat sebagai pengganti terbaik buat Azizulhasni dalam acara pecut tetapi sama ada pelumba berusia 22 tahun itu mampu memastikan pingat emas berada dalam genggaman Malaysia atau tidak masih menjadi tanda tanya terutama jika pengalamannya beraksi di peringkat antarabangsa diambil kira.

“Ikut perancangan awal, kami menjangkakan Azizulhasni dan Fatehah Mustapha masing-masing mampu menyumbang dua emas. Jadi kita hanya perlu cari sembilan emas lagi termasuk daripada acara lebuh raya. Kalau Shah Firdaus boleh pikul tanggungjawab yang ditinggalkan Azizulhasni tidak apa. Yang penting sasaran kita tidak lari sebab kena ingat kontinjen Malaysia sasar untuk muncul juara keseluruhan kali ini,” tegas Abu Samah lagi.

Setakat ini katanya, hasrat Azizulhasni itu masih belum dibincangkan dengan MSN kerana pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu hanya menyuarakannya menerusi media.

“Apa pun keputusan muktamad mengenainya boleh diketahui apabila pendaftaran nama atlet bagi semua negara yang bertanding selesai dilakukan pada Julai ini,” tambahnya.