JU PHA SOM NET bakal memperkuatkan pasukan lumba basikal negara di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Pengurus pasukan basikal negara ke Sukan Komanwel, Ramlay Ibrahim berkata, khidmat Ju Pha amat diperlukan untuk aksi temasya tersebut, sekali gus berharap pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempersetujui senarai nama yang telah diberikan pada hari ini.

“Kita sudah dapat senarai akhir dengan 14 pelumba basikal dan lima pegawai sudah diputuskan akan ke Sukan Komanwel.

“Kami memohon tambahan buat Ju Pha tadi dan juga memutuskan lima nama pelumba yang akan mewakili negara dalam acara kejar mengejar berpasukan lelaki kerana sebelum ini kita menyenaraikan enam nama dan MOM hanya meluluskan lima nama,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan MOM di sini hari ini.

Dalam senarai lama sebelum ini, pihak PKBM menggugurkan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dan hanya menyenaraikan Irwandie Lakasek, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Afiq Huznie Othman, Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee dan Muhammad Nur Aiman Rosli untuk bertanding dalam acara kejar mengejar berpasukan.