Presi­den PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, kontinjen negara lain mungkin tiada masalah menyertai acara lain tetapi bukan dua acara yang menjadi kegemaran Malaysia itu kerana menyedari peluang mereka untuk meraih emas tidak akan tercapai terutama dengan kehadiran jaguh-jaguh seperti Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapha dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Kemungkinan cara tidak menghantar pelumba dalam keirin dan 200 meter pecut itu tidak mustahil boleh dilakukan negara lain kerana sedar Malaysia mahu meraih pingat emas sebanyak mungkin dalam basikal trek.

“Dengan cara itu, jika terdapat kurang empat negara menyertai acara keirin dan 200 meter pecut, secara automatiknya ia akan digugurkan daripada dipertandingkan pada temasya kali ini,” katanya yang melahirkan kebimbangan jika ianya berlaku.

Sebagai rekod, sebanyak 13 pingat emas ditawarkan dalam sukan basikal trek pada Sukan SEA 2017 di sini Ogos nanti dengan Malaysia meletakkan sasaran untuk menyapu 13 emas juga tetapi bukan sahaja menerusi acara trek malah termasuk daripada basikal lebuhraya dan BMX.

Menguatkan spekulasi, tegas Abu Samah, apabila Malaysia selaku tuan rumah gagal mengadakan pertandingan Pra Sukan SEA untuk basikal trek.