Ketua Pegawai Eksekutifnya, Emir Abdul Jalal menjelaskan, pihaknya enggan memberi laluan kepada mana-mana pasukan yang pernah mempunyai rekod doping untuk menyertai LTdL 2017 yang akan bermula pada 22 Februari hingga 1 Mei ini.

“Pasukan Iran yang terlibat do­ping, Pishgaman Cycling Team sebenarnya mahu menyertai LTdL, sampaikan mereka sanggup ke Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk mendapatkan ‘lampu hijau’...sebab mereka adalah pasukan No. 1 Asia.

“Tetapi sejak dari tahun lepas saya dah tetapkan prinsip saya, yang mana saya tidak akan mengambil pasukan yang mempunyai sejarah doping.

“Apabila sesebuah pasukan terlalu sinonim dengan doping, ia bermakna bukan hanya pelumba sahaja, tetapi ia pasti melibatkan satu pasukan. Kita tak mahu LTdL dicemari isu doping.

“Namun kalau ia berlaku juga, bukan salah kami sebab kami dah buat pemeriksaan yang ketat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan tiga penajaan bagi perlumbaan edisi ke-22 itu di Bukit Jelutong, di sini hari ini.

Tiga penaja tersebut adalah pengeluar rak basikal untuk kereta jenama Inno Rack dari Jepun, Sea Tackle Sdn. Bhd.; pembekal dan perkhidmatan peralatan komunikasi radio, Nexedge Technology (M) Sdn. Bhd.; serta pengeluar air mineral semula jadi, Spritzer dengan jumlah kesemua penajaan kira-kira RM300,000.

Selasa lalu, ACC dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengutuk keras Pishgaman selepas pelumbanya, Rahim Emami didapati positif doping ketika Jelajah Malaysia tahun lepas.

Berdasarkan kenyataan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebelum ini, sampel Emami didapati positif bahan terlarang steroid anabolic androgenic ketika beraksi dalam perlumbaan berkenaan yang berlangsung pada 18 Oktober tahun lalu.