AZIZULHASNI AWANG gagal beraksi cemerlang dalam kelayakan acara pecut 200 meter lelaki Siri 1 Piala Dunia di Pruszkow, Poland, semalam.

Azizulhasni Awang yang diharap dapat menebuskan kehampaan selepas gagal menamatkan perlumbaan dalam acara keirin pada hari kedua akibat berlanggar dengan pelumba Jepun, terus ditimpa malang apabila berada pada kedudukan hampir tercorot dalam kelayakan acara pecut 200 meter lelaki itu.

Pelumba yang berasal dari Dungun, Terengganu itu hanya mampu mencatat masa ke-32 terpantas daripada 37 pelumba yang mengambil bahagian manakala seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom di tempat ke-34 terpantas.

Azizulhasni hanya mencatat masa 10.195 saat manakala Shah Firdaus 10.234 saat, jauh berbeza dengan pelumba yang mencatat masa terpantas dari Belanda, Harrie Lavreysen iaitu 9.646 saat. Kedudukan itu menyaksikan mereka terus terkeluar dan gagal layak beraksi di pusingan pertama lagi.

Mengikut peraturan, hanya 28 pelumba terpantas dibenarkan ke pusingan pertama dengan empat pelumba terpantas diberi keistimewaan mendapat bye dengan terus mara ke pusingan kedua. Acara 200 meter pecut lelaki ini dimenangi pelumba Australia, Matthew Glaetzer yang menewaskan pelumba tuan rumah, Mateusz Rudyk pada aksi final.

Sementara itu dalam acara keirin wanita, dua pelumba negara turut menerima nasib sama apabila Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd. Adnan hanya mampu menduduki tempat keempat dalam saringan pusingan pertama masing-masing awal pagi ini waktu Malaysia.

Farina beraksi pada saringan pertama manakala Fatehah pada saringan ketiga. Kedua-duanya kemudian masih layak beraksi dalam saringan penyisihan kumpulan kalah (repechage) untuk layak ke pusingan kedua namun tetap gagal pada peluang kedua itu.

Fatehah hanya menduduki tempat kedua di saringan kedua repechage manakala Farina di tempat ketiga dalam saringan ketiga. Hanya juara daripada saringan repechage layak ke pusingan kedua.

Acara keirin wanita ini dimenangi pelumba Jerman, Kristina Vogel manakala tempat kedua milik pelumba Rusia, Dania Shmeleva dan ketiga pelumba Australia, Stephanie Morton.

Terdahulu dalam acara 200 meter pecut wanita pada awal pagi Ahad, Farina hanya mampu mencatat masa ke-33 terpantas iaitu 11.825 saat daripada 34 pelumba yang mengambil bahagian dalam kelayakan sekaligus terkeluar untuk ke pusingan pertama.

Masa terpantas dicatat Vogel iaitu 10.602 saat. Nama Fatehah bagaimanapun tiada dalam senarai permulaaan pelumba yang mengambil bahagian. Acara pecut 200 meter ini akhirnya dimenangi Vogel yang menewaskan Morton pada aksi final.