Selain itu mereka juga berjaya meraih enam pingat perak dan dua gangsa untuk menjadikan keseluruhan 10 pingat sudah menjadi milik Malaysia setakat ini.

Dua emas hari ini disumbangkan Muhammad Afiq Afify Rizan dan pelumba pilotnya, Muhammad Khairul Adha Rasol yang menjuarai acara 200 meter pecut tandem buta lelaki serta Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais-Noraidillina Adilla J. Sam (pilot) dalam acara sama kategori wanita.

Dalam perlumbaan akhir, Afiq-Adha menewaskan rakan senegara, Aiman Ashraff Ahmad Bajuri-Mohd. Faizal Mohamed Noh (pilot) yang menang perak, manakala gangsa juga menjadi milik pelumba negara, Muhammad Khairul Nizam Mohd. Ali-Muhammad Firdaus Mohd. Zonis (pilot).

Azlia-Adilla pula turut menewaskan rakan senegara, Nur Syahida Tajudin-Nurul Suhada Zainal yang menang perak, manakala gangsa menjadi milik pelumba Singapura.

Sementara itu, empat lagi perak disumbang Mohd. Najib Turano menerusi acara kejar mengejar individu kategori C4-C5 lelaki, Shukor Farhan Suliman dalam acara kejar mengejar individu kategori C1-C3 lelaki serta Nur Faizah Aziz dalam acara 500 meter ujian masa C1-C5 wanita dan acara kejar individu C1-C5 wanita.

Satu lagi gangsa pula disumbangkan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara kejar mengejar individu kategori C1-C3.