Tanpa kelibat Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus dan Fatehah Mustapa yang tidak mengambil bahagian di pusingan keempat itu kali ini, Khairil Nizam dan Farina gagal memberikan tentangan bermakna kepada pelumba negara lain.

Khairil Nizam yang turun dalam acara keirin lelaki menduduki tempat tercorot daripada 17 pelumba yang mengambil bahagian walaupun pada pusingan pertama saringan ketiga berjaya menduduki tempat keempat daripada enam pelumba.

Puncanya diklasifikasikan tercorot kerana ketika beraksi dalam repecharge saringan pertama, pelumba berusia 20 tahun itu hanya mampu berada paling belakang daripada enam pelumba yang beraksi.

Acara ini dimenangi pelumba Jepun, Yuta Wakimoto yang berjaya menewaskan pelumba Ukraine, Andrii Vynokurov di tempat kedua dan pelumba Republik Czech, Pavel Keleman, ketiga dalam aksi final.

Sementara itu, Farina yang beraksi dalam 200 meter pecut wanita, seawal pusingan kelayakan lagi hanya mampu menduduki tempat tercorot daripada 18 pelumba yang mengambil bahagian menerusi catatan masa 11.618 saat.

Bagaimanapun, Farina tetap layak beraksi di pusingan kedua namun tewas kepada pelumba Kanada, Amelia Walsh dalam saringan pertama, sekaligus gagal mara ke pusingan ketiga.

Acara ini dimenangi pelumba Ukraine, Liubov Basova yang menewaskan pelumba Rusia, Daria Shmeleva dalam aksi final dan gangsa dimenangi pelumba Korea Selatan, Lee Hyejin.