Pelumba berusia 31 tahun itu, yang baharu tahun pertama menyertai TSG berkata, dia mahu mendedikasikan kejayaan tersebut untuk peminat sukan berbasikal Malaysia setelah menjuarai peringkat kelima dari Bentong ke Cameron Highlands menerusi catatan masa 4 jam 24 minit 29 saat.

Tempat kedua menjadi milik Benjamin Dyball dari St. George Continental Cycling Team, manakala Amanuel Ghebreigzabhier Werkilul (Dimension Data) ketiga, setelah masing-masing menamatkan perlumbaan 28s dan 55s di belakang Ovechkin.

Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan pelumba berusia 31 tahun itu meraih jersi kuning (pendahulu keseluruhan) setelah unggul dengan catatan masa 21:21.34s, termasuk menyambar jersi polka dot merah (raja bukit) daripada Bernardo Suaza dari Manzana Postobon Team.

TSG merupakan pasukan tempatan kedua berjaya memenangi peringkat perlumbaan selepas kali pertama dilakukan pasukan Telekom Malaysia menerusi pelumba Hong Kong, Wong Kam-po pada tahun 2000.

“Saya baharu dapat tahu bahawa ini adalah kali pertama TSG memenangi perlumbaan peringkat sejak menyertai LTdL pada 2011. Malah, TSG juga muncul pasukan negara kedua berjaya menaiki podium pertama.

“Jadi semestinya saya rasa bangga sebab kemenangan ini hadir di negara yang telah menganjurkan LTdL. Cuma saya tidak sangka dapat menghadiahkan kemenangan ini di hadapan penyokong tempatan.

“Perlumbaan masih berbaki tiga peringkat dan saya bertekad untuk mengekalkan jersi polka dot merah (raja bukit) dan jersi kuning (pendahulu keseluruhan) jika mampu,” katanya sejurus menamatkan perlumbaan.

Sementara itu, Riccardo Minali dari Astana Pro Team masih lagi mengekalkan jersi hijau (raja pecut) pada peringkat kelima, selain rakan sepasukannya Yevgeniy Gidich menyambar jersi putih (pelumba terbaik Asia).

Peringkat keenam esok merupakan laluan terpendek melibatkan 108.5km yang akan bermula dari Tapah ke Tanjung Malim, dengan hanya menyajikan satu zon pecutan dan pendakian, masing-masing di Langkap dan Felda Besout.