Kedua-duanya dinilai menerusi pencapaian dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang dan Sukan Komanwel Gold Coast tahun ini.

Bekas juara dunia, Azizulhasni yang juga antara atlet harapan negara untuk membawa pulang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik 2020 Tokyo, cemerlang dengan mengutip medal dalam setiap acara yang disertainya pada Sukan Asia pada Ogos lalu.

Azizulhasni muncul atlet lelaki berbasikal kedua meraih anugerah tersebut selepas Josiah Ng Onn Lam pada 2004 apabila unggul mengutip emas dalam acara pecut, perak (pecut berpasukan) dan gangsa (keirin).

Pemenang kategori wanita, Amy Kwan pula meniti titian cemerlangnya dalam Sukan Komanwel pada April lalu selepas menggondol empat medal menerusi acara riben dengan emas, keseluruhan berpasukan (perak), keseluruhan individu dan gelung masing-masing gangsa.

Seperti Azizulhasni, Amy Kwan juga muncul gimnas wanita kedua memenangi anugerah itu selepas Au Li Yen pada 1997.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana saya dipilih selaku pemenang anugerah Olimpian MOM 2018 buat julung kalinya.

“Anugerah ini akan saya jadikan sebagai sumber motivasi dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020.

“Terima kasih saya ucapkan kepada MOM, MSN (Majlis Sukan Negara) dan juga ISN (Institut Sukan Negara) yang sentiasa berada di belakang saya dalam karier sebagai atlet kebangsaan,” kata Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman.

Kedua-dua pemenang itu membawa pulang ganjaran wang tunai berjumlah RM10,000 beserta pingat, dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyerahkannya pada majlis Malam Anugerah MOM hari ini.

Pada majlis tersebut juga menyaksikan Anugerah Khas MOM dimenangi oleh dua pemenang emas Sukan Olimpik Belia 2018 Buenos Aires pada Oktober lalu iaitu bekas juara badminton remaja dunia Goh Jin Wei dan skuad hoki lima sebelah.