Pelumba kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu yang kini berkhidmat sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal membawa pulang tiga emas termasuk satu daripada acara ujian masa individu selain basikal bukit dan kriterium.

Jurulatih berbasikal Sukan SEA Ke-29 negara, Syed Hussaini Syed Mazlan berkata, prestasi semasa yang ditunjukkan Muhammad Fauzan itu pastinya menjadi suntikan semangat kepadanya yang bakal mengetuai cabaran negara dalam acara TTT di temasya itu nanti.

“Kita berharap momentum kejayaan yang dicipta di Sukan Bomba dan Polis Dunia itu dapat dikekalkannya untuk menyumbang emas di Sukan SEA Ke-29 dalam acara TTT.

“Harapan yang diletakkan kepadanya untuk membimbing tiga pelumba lagi dalam acara itu adalah tinggi memandangkan Muhammad Fauzan dianggap pelumba paling berpengalaman berbanding yang lain,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Fauzan yang tiba dari Los Angeles hari ini dan akan terus menyertai kontinjen negara bakal bergandingan dengan Nik Azwan Zulkifle, Ameen Ahmad Kamal dan Ameer Ahmad Kamal dalam acara TTT pada Sukan SEA Ke-29 yang bagaimanapun tidak mempertandingkan acara ujian masa individu (ITT) kali ini.

Selain itu, turut mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sukan Bomba dan Polis 2017 di AS itu adalah Nik Azwan yang juga menang emas dalam acara basikal bukit kategori lelaki 18 tahun ke atas.

PDRM juga menghantar seorang pelumba wanita, Nurul Shuhada Zainal yang memenangi emas dalam acara kriterium kategori 18 tahun ke atas.

Pada Sukan SEA 2015, walaupun gagal meraih sebarang pingat, Muhammad Fauzan berjaya membantu rakan sepasukan, Mohd. Harrif Saleh meraih dua emas dalam acara kriterium dan lebuh raya pada temasya di Singapura itu, sekali gus berjaya menamatkan penantian emas negara selama 10 tahun dalam sukan berbasikal.

Muhammad Fauzan bagaimanapun tidak menyertai acara lebuh raya dan kriterium pada Sukan SEA kali ini kerana telah dikuasai pelumba-pelumba daripada pasukan benua Terengganu Cycling Team (TSG) sepenuhnya.