Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan, pelumba para akan kekal di situ sehinggalah pihak Podium bersedia mengendalikan semula sepenuhnya tidak lama lagi.

“Kami akan sentiasa memberi kerjasama kepada Program Podium bagi memastikan latihan pelumba-pelumba para tidak terjejas. Buat ketika ini, pelumba menjalani fasa conditioning khususnya bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang akan diadakan pada Februari 2018 nanti,” kata Shapawi menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Shapawi berkata demikian sebagai mengulas rungutan seorang pelumba para di bawah Program Podium, Muhammad Afiq Afify Rizan yang merayu agar disediakan jurulatih tetap untuk bukan sahaja dirinya tetapi dua lagi pelumba buta iaitu Muhammad Amin Najmi Romzi dan Mohd. Khairul Hazwan Wahab kerana tidak mahu menjadi atlet yang hanya ‘makan tidur’ buat masa ini.

Afiq juga merayu agar pihak berkenaan segera memilih pelumba pilot untuk mereka dan terus meletakkan pelumba pilot itu juga di bawah Program Podium sama seperti mereka demi keadilan dalam memperoleh elaun bulanan.

Kata Afiq lagi, dia tidak mahu hanya makan ‘gaji buta’ (elaun bulanan) sahaja dan lebih membimbangkan daripada itu ialah temasya Sukan Komanwel 2018 sudah semakin hampir sedangkan tiada sebarang persiapan sedang dilakukan setakat ini. Sukan Komanwel bakal berlangsung dari 4-15 April depan.

Afiq juga dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pelumba para sepertinya akan meneruskan latihan bersama pelumba MSN dan dibantu sebaik mungkin oleh jurulatih MSN sehingga ditawarkan kontrak rasmi bersama Podium pada Januari 2018.

“Apa yang saya risaukan ialah apabila saya dipanggil memasuki Program Podium nanti, saya berharap untuk mendapat khidmat sokongan yang sama, sama ada jurulatih dan pelumba pilot akan diberikan pertimbangan oleh Program Podium agar latihan saya tidak terbantut.

“Saya berharap program latihan saya bagi menghadapi Sukan Komanwel (sekiranya terpilih) dan Sukan Para Asia (sekiranya terpilih) yang lebih baik dapat membantu saya mempamerkan prestasi terbaik dalam kedua-dua temasya tersebut,” tegasnya.