Sambil menegaskan penundaan itu bukan tidak boleh dilakukan langsung sekiranya bertindih dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, beliau juga menambah bahawa proses untuk menunda buat kali kedua ini juga agak remeh berban­ding dahulu.

Sebagai rekod, tarikh LTdL 2018 pada asalnya telah diluluskan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 3-10 Mac namun penganjur perlumbaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memohon ia ditunda kepada 16-25 Mac yang pada dasarnya telah pun dipersetujui walaupun pertukaran tarikh itu tidak dimasukkan lagi da­lam kalendar perlumbaan 2018.

“Ini kali kedua jika betul LTdL 2018 mahu ditunda tarikhnya, se­kiranya kali ini bertindih pula dengan PRU. Tetapi untuk menundanya lagi, boleh sahaja kerana ia bukan satu masalah besar pun.

“Cuma apa yang membimbangkan saya ialah masalah pokoknya iaitu untuk mencari tarikh baharu yang sesuai. Selain itu pengendali perlumbaan akan berdepan satu lagi masalah utama iaitu untuk mendapatkan pasukan terbaik untuk menyertainya.

“Ini kerana kalendar UCI telah dikeluarkan dan disusun awal. Jika lihat kalendar UCI hari ini pun tarikh asal 3-10 Mac, hari itu pun tidak ditukar lagi. Ini pula hendak tunda lagi,” katanya.