Juara dunia ujian masa Tony Martin memberi amaran bahawa kredibiliti dunia sukan berbasikal kini dalam keadaan bahaya dan bimbang sekiranya Froome dibenarkan untuk terus beraksi sekiranya berlaku ‘perjanjian di belakang tabir’.

Jaguh berbasikal Jerman yang dikenali sebagai ‘Der Panzerwagen’ itu berang apabila mendapat tahu bahawa ujian air kencing ke atas juara empat kali Jelajah Perancis dari Britain itu mendapati dia telah mengambil ubat asma Salbultamol dua kali ganda daripada dos dibenarkan semasa menyertai La Vuelta di Sepanyol September lalu.

Froome dimaklumkan mengenai perkara itu pada 20 September lalu tetapi badan pemantau sukan berbasikal dunia UCI membenarkannya untuk bertanding dalam kejohanan dunia bagi kate­gori ujian masa.

Bagaimanapun, Martin me­negaskan bahawa Froome tidak seharusnya dibenarkan berlumba sambil menyifatkan UCI mengamalkan dwistandard selain memberikan ‘layanan istimewa’ kepada Team Sky.

“Kredibiliti kita semua dalam bahaya! Memang saya sangat marah. Dalam kes Cristopher Froome, jelas sekali mereka mengamalkan dwistandard.

“Semua atlet lain akan digantung serta merta jika didapati positif. Froome dan pasukannya pula diberikan masa oleh UCI untuk menjelaskan keadaan.

“Ini adalah satu skandal yang sangat jelas dan dia tidak sepatutnya dibenarkan bertanding dalam Piala Dunia.

“Saya dan orang ramai percaya, akan berlaku perjanjian lain untuk melepaskan diri mereka daripada permasalahan yang berlaku.

“Adakah dia dan pasukannya menikmati status istimewa?

“Pendekatan seperti ini membuatkan badan antido­ping berdepan masalah sekali gus membuatkan pelumba se­perti saya dan Marcel Kittel berasa perkara ini tidak masuk akal.

“Kami memerlukan tindakan konsisten dan telus daripada UCI. Apa yang sedang berlaku ini tidak konsisten, tidak profesio­nal dan tidak adil sama sekali,” katanya.

Froome mungkin akan digantung untuk tempoh yang panjang dan kehilangan kejuaraan Vuelta sekiranya gagal menerangkan mengapa kadar salbutamol di dalam air kencingnya melebihi dos dibenarkan. – AGENSI