AMARJIT SINGH Gill
AMARJIT SINGH Gill

Ahli Lembaga Eksekutif Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Amarjit Singh Gill menegaskan malah sudah ada kuasa besar Asia telah berhubung dengan Malaysia untuk bertanyakan kerjasama yang boleh dibentuk bagi menyenaraikan semula tiga acara basikal trek bertaraf Olimpik itu tahun depan.

“Dalam hal ini, saya dan Datuk Abu Samah (Abd Wahab) yang juga Presiden PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) bersedia jadi orang tengah untuk pujuk Jepun, China, Korea Selatan, Hong Kong dan Iran.

“Saya rasa negara lain di seluruh Asia sangat berminat untuk lihat acara keirin dan pecut dipertandingkan dalam Sukan Asia 2018. Thailand misalnya juga telah luahkan rasa kesal kerana Inagoc (Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018) dan OCA (Majlis Olimpik Asia) seolah-olah tidak mengiktiraf tiga acara besar Sukan Olimpik itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amarjit, yang juga Bendahari ACC, menegaskan tiga acara tersebut menjadi rebutan pelumba trek dalam Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

“Malaysia dan Hong Kong juga telah berjaya melahirkan juara trek dunia iaitu Mohd. Azizulhasni Awang serta Lee Wai Sze. Jadi kenapa kita berundur ke belakang, sedangkan semua pihak di Eropah misalnya sangat memandang tinggi kepada acara keirin, pecut serta pecut berpasukan.

“Di peringkat Sukan Olimpik, Malaysia, Hong Kong dan Jepun juga telah memiliki pemenang pingat Sukan Olimpik dalam acara keirin iaitu Mohd. Azizulhasni, Wai Sze serta Nagai Kiyofumi.

“Saya difahamkan Jepun, Korea Selatan, China dan Hong Kong sedang teliti kes ini dengan rapi. Saya percaya kami boleh membentuk kerjasama yang jitu bersama kuasa besar Asia. Saya juga akan pujuk negara Asia yang lain demi memastikan tiga acara ini kembali dipertandingkan,” kata Amarjit lagi.

Sukan berbasikal Asia kini bergolak rentetan tindakan Inagoc yang dikatakan akur kepada OCA untuk mengugurkan tiga acara penting perlumbaan trek di Sukan Asia 2018 iaitu pecut berpasukan, pecut dan keirin.

Malah, Inagoc melakukan ‘konspirasi’ terbesar apabila mencantas nama Abu Samah daripada senarai Delegasi Teknikal (TD) acara berbasikal dari Malaysia sedangkan senarai asal sudah diluluskan badan induk berbasikal Asia.

Pada masa yang sama, Inagoc telah pun menamakan Nuthapong Lohitnavy - seorang komisar antarabangsa dari Thailand sekali gus mengetepikan prosedur bahawa semua perlantikan TD mesti dibawa dan diluluskan di peringkat mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC terlebih dahulu.

Menyentuh mengenai penguguran Abu Samah daripada senarai TD, Amarjit turut mendedahkan bahawa hampir setiap hari beliau menerima banyak pertanyaan daripada Ahli Jawatankuasa Pengurusan ACC yang mahukan isu tersebut segera diselesaikan.

“Kita harus mematuhi prosedur ACC. Tiada kompromi di dalam hal ini. Saya sebagai se­orang peguam sangat memandang serius tindakan Inagoc dan OCA. Mereka tidak mematuhi peraturan yang diper­untukkan ACC,” katanya.