Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab menegaskan langkah tersebut adalah ‘pe­lan tindakan fasa kedua’ selepas semalam mengutus surat rasmi berhubung pengguguran acara keirin, pecut dan pecut berpasukan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) rentetan desakan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

“Saya juga akan mengadakan mesyuarat khas dengan tujuh kuasa besar trek Asia iaitu Jepun, China, Hong Kong, Taiwan, Iran, Kazakhstan dan Korea Selatan semasa Kongres UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) di Bergen, Norway September nanti,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Abu Samah, yang juga Pre­siden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA), menegaskan bahawa rumusan bersama tujuh kuasa besar acara trek itu akan di­serahkan kepada Jawatankuasa Eksekutif ACC untuk tindakan seterusnya.

“Namun impian kami adalah serupa iaitu agar Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (Inasgoc) menyenaraikan semula acara keirin, pecut dan pecut berpasukan dalam Sukan Asia 2018 nanti.

“Secara peribadi, saya sendiri sudah berhubung dengan beberapa negara kuasa besar. Me­reka sangat terperanjat dengan pengguguran acara keirin, pecut dan pecut berpasukan daripada Sukan Asia 2018.

“Mereka berpendapat adalah tidak wajar untuk Inasgoc dan OCA berbuat demikian kerana keirin, pecut dan pecut berpasu­kan adalah acara wajib dalam Sukan Olimpik serta Kejohanan Trek Sedunia,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Lembaga Ek­­sekutif ACC, Datuk Amarjit Singh Gill mendedahkan bahawa Malaysia bersedia menjadi orang tengah memujuk kuasa besar, Jepun, China, Korea Selatan, Hong Kong dan Iran untuk mengenakan tekanan bagi memastikan tiga disiplin penting termasuk keirin serta pecut kembali dimasukkan dalam acara trek dalam Sukan Asia 2018.

Sukan berbasikal Asia kini berkocak rentetan tindakan Inasgoc yang dikatakan akur kepada OCA untuk mengugurkan tiga acara penting dalam sukan trek di Sukan Asia 2018 iaitu pecut berpasukan, pecut dan keirin.

Abu Samah percaya Malaysia boleh mendapat sokongan padu daripada semua 15 negara gabungan ACC kerana pengguguran acara keirin, pecut dan pecut berpasukan amatlah memalukan imej Asia sebagai kuasa trek di dunia.China, Jepun dan Hong Kong, selain Malaysia adalah pemenang pingat emas, perak dan gangsa di Sukan Olimpik serta Kejohanan Trek Sedunia. Jadi kita semua ada kepentingan di dalam hal ini, katanya.

Malah, difahamkan dua wakil Asia iaitu Jepun dan Korea Selatan akan bertemu Presiden UCI, Brian Cookson di Jakarta pada 19 Ogos untuk membincangkan isu ini.

“Saya amat berharap pertemuan dengan Presiden UCI mampu membuka hati Inasgoc dan OCA agar kembali menyenaraikan keirin, pecut dan pecut berpasukan dalam Sukan Asia 2018,” katanya.