Ahli Lembaga Eksekutif Konfe­derasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Amarjit Singh Gill mene­gas­kan be­liau telah menemui Presiden UCI, Brian Cookson di Denmark, tiga hari lalu meminta badan induk berbasikal dunia itu mendesak Majlis Olimpik Asia (OCA) menarik semula keputusan menggugurkan tiga acara berkenaan.

“Dalam pertemuan itu saya bertanya adakah UCI sedar mengenai tindakan OCA yang telah menggugurkan tiga acara pen­ting daripada Sukan Asia 2018 iaitu keirin, pecut dan pecut berpasukan? Brian menjawab bahawa UCI sedar dan amat kesal dengan tindakan OCA.

“Saya tegaskan kepada Presi­den UCI bahawa tiga acara trek ini di­pertandingkan dalam Sukan Olim­pik 2016 dan Sukan Asia 2014. Bagaimana OCA boleh mengambil tindakan yang tidak bijak dengan mengetepikan acara penting dalam disiplin trek.

“Presiden UCI bersetuju de­­n­­gan hujah saya dan berjanji akan mendesak OCA untuk kembali mempertanding­kan acara berkenaan,” katanya menerusi satu ke­nyataan dikeluarkan di sini hari ini.
OCA sebelum ini menggugurkan tiga acara penting berbasikal dalam Sukan Asia iaitu keirin, pecut dan pecut berpasukan se­kali gus menyebabkan ACC segera mengu­tus surat rasmi membantah keputusan tersebut.

Rentetan itu, Malaysia bertindak menjadi orang tengah memujuk kuasa besar - Jepun, China, Ko­rea Selatan, Hong Kong dan Iran - untuk me­ngenakan tekanan bagi memastikan tiga disiplin pen­ting termasuk keirin serta pecut kembali dimasukkan dalam acara trek di Sukan Asia 2018.

Sukan berbasikal Asia kini berkocak rentetan tindakan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (inasgoc) yang dikatakan akur kepada OCA untuk mengugurkan tiga acara penting itu daripada Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Malaysia dikatakan mendapat sokongan padu daripada semua 15 negara gabungan ACC khususnya China, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Kazakhstan dan Korea Selatan kerana pengguguran acara keirin, pecut dan pecut berpasukan amat memalukan imej Asia sebagai kuasa trek di dunia.

Amarjit menegaskan beliau akan memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC bahawa UCI sangat memandang serius terhadap tindakan OCA dan inasgoc yang jelas tidak sensitif dengan perasaan kuasa besar trek Asia.

“ACC ti­dak bo­leh berdiam di­ri selagi OCA dan ­inasgoc tidak mengubah se­mula pen­dirian me­reka. Yang jelas tindakan OCA sangat pelik dan seolah-olah membayangkan mereka tidak ta­hu apa acara penting dalam Sukan Olim­pik dan Sukan Asia,” kata­nya.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Sa­mah Wahab menegaskan se­laku negara gabungan UCI, Malaysia me­nyanjung tinggi keputusan UCI yang berjanji mahu mendesak OCA dan inasgoc.

“Sedikit sebanyak keputusan UCI melegakan negara gabung UCI di seluruh Asia,” katanya.