Selepas tiga emas diraih hari pertama dan kedua saingan, hari ketiga dan terakhir menyaksikan Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa mengetuai penguasaan penuh Malaysia dengan menyapu bersih kelima-lima pingat emas yang ditawarkan.

Kejayaan itu menyaksikan Fatehah menjadi penyumbang terbesar pingat emas buat skuad basikal trek pada temasya kali ini dengan empat emas yang diraih menerusi acara keirin, pecut berpasukan, 200 meter pecut dan 500 meter ujian masa.

Dalam acara 500 meter ujian masa Fatehah, 28, bukan sahaja meraih emas ketujuh buat skuad negara tetapi memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 34.542 saat. Rekod lama adalah 34.667 saat yang dilakukannya di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Kejayaan itu kemudiannya disusuli dengan kejutan Mohd. Fadhil meraih emas kelapan dengan menewaskan rakan sepasukan, Mohd. Shah Firdaus Sahrom yang menang perak dan pelumba Singapura, Mohd. Elyas Mohd. Yussoff yang menang gangsa dalam acara 1km ujian masa lelaki.
Kuartet 4km kejar mengejar yang dianggotai Eiman Firdaus Mohd. Zamri, Irwandie Lakasek, Mohd. Nur Aiman Mohd. Zariff dan Mohd. Afiq Huznie Othman kemudiannya meraih emas kesembilan dengan menewaskan kuartet Thailand dalam aksi final menerusi catatan terpantas 3minit:47.851s yang juga merupakan rekod baharu kebangsaan.

Fatehah yang turun sekali lagi dalam keirin wanita kekal tidak menghampakan apabila menang emas keempat peribadinya di temasya kali ini dengan menewaskan rakan senegara, Farina Shawati Mohd. Adnan yang menang perak dan pelumba Thailand, Watinee Luekajorn yang memperoleh gangsa.

Azizulhasni yang membuat penampilan terakhir di Sukan SEA kemudiannya menjuarai acara kegemarannya iaitu keirin lelaki dengan bergaya apabila mudah menewaskan rakan sepasukan, Mohd. Shariz Efendi Mohd. Shahrin yang memperoleh perak dan pelumba Indonesia, Md. Nur Fathoni yang menang gangsa.

“Memandangkan ini Sukan SEA terakhir saya, dua emas yang dimenangi menerusi 200 meter pecut dan keirin kali ini membuatkan saya rasa cukup puas dalam membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan. Lebih mengembirakan apabila kejayaan terakhir saya di pentas Asia Tenggara disaksikan sendiri rakyat Malaysia,” katanya.

Sasaran pingat emas yang ditetapkan 
MSN tercapai