Ini kerana perlumbaan itu akan berlangsung pada musim cuti persekolahan.

Pelajar sekolah antara watak utama dalam memeriahkan perlumbaan itu saban tahun, dan mereka akan sedia menanti de­ngan penuh sabar di bawah pancaran terik matahari semata-mata mahu memberikan sokongan, sekali pun sedar pelumba hanya melintas beberapa saat di hadapan mata mereka.

Tidak hairanlah untuk edisi 2016, LTdL memberi penghargaan dengan mengadakan pertan­dingan ‘Sorakan Semangat’, yang dimenangi Sekolah Menengah Sains Tapah dari Perak bagi kategori sekolah, manakala Kampung Guntong MK Lumbok dari Johor (kategori kampung).

Justeru, Ketua Pegawai Operasi Ciclista Sports Sdn. Bhd., Shahirudeen Seeni Mohamad berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam usaha menarik minat mereka untuk hadir menyatakan sokongan kepada 22 pasukan yang berentap dalam LTdL edisi ke-23 tahun ini.

“Dari segi promosi, memandang­kan LTdL kali ini berlangsung pada musim cuti sekolah, mungkin tak ramai murid yang akan berada di sekitar kawasan laluan untuk memberi sorakan sokongan.

“Kami telah berbincang dengan beberapa PPD, di mana kami akan memberi barangan dan baju percuma untuk menggalakkan murid hadir menonton perlumbaan ter­ulung Asia ini.

“Bukan semua daerah mendapat barangan percuma tersebut, hanya daerah-daerah terpilih sahaja,” katanya selepas majlis pe­ngenalan penaja bagi konvoi ‘calvacade’ LTdL 2018 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahirudeen berkata, persiapan penganjuran LTdL kini sudah mencapai tahap 97.5 peratus selesai dengan bakinya hanya melibatkan kerja-kerja seperti penyediaan kenderaan, sistem komunikasi dan pakaian.

“Kami sudah sedia sepenuhnya dan fokus 200 peratus kami kini letakkan terhadap perlumbaan dengan melengkapkan kenderaan, kebolehgerakan dan kerja-kerja memasang pelekat, sistem komunikasi dan lampu isyarat pada kenderaan sebelum pelancaran pasukan pada Jumaat ini di Dataran Lang, Langkawi.

“Sebanyak 180 unit kenderaan yang ditaja oleh Volkswagen telah diterima. Seorang pelumba dari pasukan Astana Pro Team telah pun sampai hari ini, manakala 90 peratus pelumba dijangka tiba esok,” katanya.

LTdL kali ini akan bermula dari Kangar ke Kulim dengan jarak 147.9km; diikuti laluan Gerik-Kota Bharu (208.3km); Kota Bharu-Kuala Terengganu (166.0km); Dungun-Pekan (177.6km); Bentong-Cameron Highlands (169.4km) dengan pendakian berstatus Hors di Tanah Rata; Tapah-Tanjung Malim (108.5km); Nilai-Muar (222.4km) dan tamat di Dataran Merdeka menerusi laluan Rembau-Kuala Lumpur (141.1km).