Pengerusi TdIJ, Jaafar Hashim berkata, pada awalnya mereka tidak melihat LTdL sebagai gangguan, namun, setelah ia ditunda ke tarikh baharu 6 hingga 13 April ini, timbul cabaran terutama dari segi bajet, logistik dan penyertaan pegawai keselamatan yang bertugas.

Tambahnya, kelancaran TdIJ yang dijadualkan berlangsung selang empat hari setelah tamat LTdL juga bakal tergugat jika penganjurnya masih kekal dengan laluan asal perlumbaan bermula dari

JAAFAR HASHIM
JAAFAR HASHIM 

Kuala Lumpur dan berakhir di Pulau Langkawi.

“Kami sangat bimbang kerana segala persiapan telah diatur terutamanya dari segi keselamatan, logistik dan sebagainya. Pada awalnya, kami tidak melihat LTdL 2019 sebagai gangguan.

“Namun, apabila tarikh LTdL diubah, kami mendapati ada kesan yang akan mengganggu perjalanan TdIJ. Kami perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya dari segi bajet.

“Ini kerana bajet mungkin akan meningkat kerana kami perlu menggunakan agensi lain sekiranya agensi yang sepatutnya bertugas pada waktu itu berdepan kesulitan terutama selepas selesai menjayakan LTdL 2019.

“Saya lebih suka jika LTdL 2019 dapat berakhir di Kuala Lumpur atau Putrajaya kerana jaraknya lebih dekat dengan Johor,” katanya dalam sidang akhbar TdIJ di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, TdIJ yang dijadualkan berlangsung pada 17-21 April, menggunakan kira-kira 30 peratus kontraktor serta pegawai yang turut sama bertugas di LTdL 2019.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab mengesahkan badan induk tersebut bakal mengadakan perbincangan dengan penganjur LTdL, Human Voyage (M) Sdn. Bhd di Melaka, esok, berhubung cadangan mereka untuk menukar laluan.