Satu e-mel balas yang dihantar Jabatan Basikal Lebuhraya UCI yang diketuai Matthew Knight yang diterima Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) awal hari ini telah me­nyatakan persetujuan secara verbal tersebut tetapi dengan bersyarat.

ABU SAMAH ABDUL WAHAB
ABU SAMAH ABDUL WAHAB 

Syaratnya ialah perubahan tarikh itu perlu mendapat persetujuan Kesatuan Berbasikal Asia (ACC) terlebih dahulu selain perlu membayar denda penalti dengan segera kerana gagal mematuhi kalendar perlumbaan yang telah ditetapkan UCI lebih awal.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab ketika mengesahkan kelulusan yang telah diberikan UCI itu menyifatkan ia satu be­rita baik buat semua pihak yang terlibat dalam penganjuran LTdL 2019 yang akan berlangsung dari 6 hingga 13 April nanti.

Sebagai rekod, mengikut ja­dual asal yang tertera dalam kalendar UCI, LTdL 2019 sepatutnya berlangsung dari 24 hingga 31 Mac sebelum terpaksa ditunda atas permintaan Kabinet kerana bertembung dengan tarikh penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dari 26 hingga 30 Mac.

“Pada dasarnya ACC awal-awal lagi telah menyatakan bahawa mereka akan menyokong penundaan tarikh LTdL 2019. Jadi syarat UCI itu telah pun dipenuhi sebenarnya dan LTdL 2019 terselamat daripada dibatalkan.

“Cuma kita perlu cepat-cepat membayar denda penalti tersebut sebaik UCI mengeluarkan hitam putih atau surat kelulusan itu dalam beberapa hari lagi.

“Kita juga terlepas membayar tinggi kerana UCI hanya mengenakan denda dalam 1,500 euro walaupun kita telah me­langgar syarat asas,” katanya.

Bagaimanapun e-mel balas UCI itu kata Abu Samah tetap memberi peringatan tegas kepada Malaysia agar tidak me­ngulangi tindakan menunda di saat akhir seperti ini sebaliknya perlu mematuhi syarat permohonan yang perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan sebelum penundaan jika ingin berbuat demikian di masa hadapan.

Terdahulu PKBM telah pun menghantar permohonan penundaan itu juga menerusi e-mel pada Khamis dan ia mendapat respon segera daripada UCI.