Jurulatih skuad kebangsaan, Mohd. Yusof Abdul Nasir berkata, ini kerana semua pasukan yang terlibat dengan tarikh sebenar LTdL pada 24 hingga 31 Mac ini sudahpun membuat persiapan rapi.

Tambah Yusof, dia bagaimanapun yakin penganjur siri jelajah basikal terbesar Asia, Human Voyage (M) Sdn. Bhd. mampu memberi komitmen dan menjalankan tugas dengan baik tanpa sebarang masalah.

“Kita hanya ada masa lebih kurang tujuh minggu untuk mengharungi LTdL.

“Saya pasti semua pasukan sudahpun membuat persiapan rapi tetapi kalau ditunda, ia akan menimbulkan banyak masalah, terutama kepada pasukan luar.

“Ini kerana mereka (pasukan luar) sudah pasti telah membeli tiket penerbangan, merangka strategi untuk menghadapi LTdL.

“Jika ditunda ke tarikh baharu, mereka pasti sukar untuk menyertainya semula kerana ada kejohanan lain yang sedang menanti, mungkin bertindih pada tarikh (baharu) tersebut.

“Apa pun saya yakin pe­nganjur mempunyai perancangan tersendiri dalam memastikan LTdL kali ini berjalan lancar.

“Kami sebagai skuad kebangsaan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mendedahkan, Human Vayage ada memohon kepada badan induk itu untuk mengemukakan permohonan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi menunda perlumbaan tersebut ke tarikh lain.

Mereka memberi alasan bahawa perlumbaan edisi ke-25 itu terlalu suntuk untuk dilaksanakan.

Dalam pada itu, Yusof berkata, skuad kebangsaan kini masih dalam proses pemilihan untuk menentukan siapa pelumba yang akan mewakili Malaysia di LTdL.