ABU SAMAH ABD. WAHAB
ABU SAMAH ABD. WAHAB

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, perlumbaan berstatus hors classe yang memasuki edisi ke-23 itu juga akan kembali ke landasan asal dengan menyajikan sepuluh hari perlumbaan berbanding lapan sejak 2015.

Tambahnya, dia menjangkakan geran daripada penganjur LTdL, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada kontraktor yang bakal mengendalikan perlumbaan itu juga akan bertambah berbanding edisi sebelum ini.

“Meskipun kementerian belum menentukan siapa kontraktornya namun permintaan daripada KBS untuk meminda tarikh daripada 3-10 Mac kepada 16-25 Mac menunjukkan bahawa LTdL akan berlangsung.

“Kami (PKBM) sudah pun menghantar permohonan penundaan tarikh tersebut kepada UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa).

“Saya juga dengar geran daripada KBS kali ini okey, tak kena potong seperti edisi lalu. Secara logiknya, kalau tiada bajet besar, bagaimana mereka nak adakan perlumbaan selama sepuluh hari? Jadi saya jangkakan bajet kali ini besar.

“Dahulu memang kita buat sepuluh hari (perlumbaan). Selepas itu kita turunkan kepada lapan hari sejak 2015 hingga 2017. Jadi, apa yang boleh saya katakan LTdL 2018 sah diadakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

KBS sehingga kini masih berteka-teki mengenai kontraktor yang bakal menganjurkan perlumbaan berprestij itu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada LTdL akan terus wujud atau sebaliknya memandangkan tempoh untuk menganjurkan perlumbaan itu semakin suntuk.

Sejak dua edisi lalu Ciclista Sports Sdn. Bhd. diberikan tanggungjawab melaksanakan LTdL namun masih belum terdapat sebarang pengumuman rasmi sama ada syarikat itu akan terus mengendalikan kejohanan tahun ini.

Mengulas lanjut, Abu Samah berkata, pihaknya turut menanti sebarang keputusan daripada KBS berhubung penganjur yang bakal mengendalikan LTdL 2018.

Katanya, seperti yang dipersetuj pihaknya hanya menjaga aspek teknikal perlumbaan dengan soal lain dikendalikan KBS.

Sejak diperkenalkan pada 1996, LTdL menjadi platform kepada pelumba tempatan untuk melakar nama seperti Anuar Manan sebagai Raja Pecut 2010 dan Adiq Husainie Othman (pelumba terbaik Asia 2016), serta Telekom Malaysia Cycling Team (pasukan terbaik Asia 2001 dan 2002).