M. KUMARESAN
M. KUMARESAN

Nama baik negara dalam menganjurkan perlumbaan jelajah berbasikal tercemar apabila penganjur LTdL edisi 2017 gagal melunaskan wang kemenangan pada masa ditetapkan.

Perkara itu didedahkan oleh jaguh Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh pada Oktober tahun lepas yang berkata dia dan rakan sepasukannya masih belum me­nerima wang kemenangan LTdL 2017, malah memberitahu bahawa hadiah daripada Jelajah Malaysia (JM) 2016 juga belum diperoleh.

Bukan itu sahaja, pelumba berpengalaman negara Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi baru-baru ini mempersoalkan ke mana perginya wang kemenangan JM dan Tour de Selangor (TdS) 2017 yang hingga kini masih belum diperoleh.

Disebabkan isu itu juga Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tidak membenarkan LTdL 2018 ditambah daripada lapan kepada 10 peringkat ekoran rekod buruk pembayaran hadiah wang tunai dalam beberapa perlumbaan berbasikal yang dianjurkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018, M. Kumaresan bagaimanapun berjanji pihaknya akan memastikan masalah kegagalan melunaskan wang kemenangan tidak akan berlaku dan perlumbaan berprestij Asia itu dapat berjalan dengan lancar.

“Semuanya mengikut jadual dan bajet yang ditetapkan. Harap tiada masalah berkenaan pembayaran wang hadiah kemenangan.

“Apa yang boleh saya katakan, semuanya boleh dilunaskan dengan baik. Hampir RM1 juta wang hadiah kemenangan, sama seperti edisi-edisi lalu.

“Kita akan bercakap tentang perkara ini lebih lanjut pada hari terakhir perlumbaan nanti,” katanya dalam majlis pelancaran penaja dan penaja rasmi LTdL 2018 di Bukit Jelutong, dekat sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, lima lagi syarikat tempatan tampil memberi suntikan penajaan untuk edisi ke-23 LTdL, beberapa hari sebelum jelajah berbasikal terunggul itu membuka tirainya pada Ahad hingga 25 Mac ini.

“KBS beri geran RM12 juta, dengan penambahan penajaan hari ini dapat membantu kami untuk lebih melancarkan (penganjuran perlumbaan). Kami sekarang sudah 90 peratus bersedia untuk menganjurkan LTdL 2018,” kata Kumaresan, yang merupakan bekas pelumba lebuh raya dan mara ke pusingan akhir perlumbaan kutip mata dalam Olimpik Barcelona pada 1992.