Dengan menyertai tiga daripada enam acara yang dipertandingkan pada aksi pembukaan itu, hanya pasukan pecut berpasukan hampir menempatkan diri untuk beraksi dalam perebutan pingat gangsa.

Namun tindakan komisar perlumbaan mengubah keputusan saat akhir dengan membenarkan trio tuan rumah, Australia meneruskan cabaran selepas membatalkan penyertaan mereka kerana melakukan kesalahan ketika berlumba, menghampakan trio negara yang diperkuatkan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd. Zonis dan Muhammad Khairil Nizam Rasol.

Ketika penyertaan Australia dibatalkan pada awalnya, trio negara mencatat masa keempat terpantas di belakang trio New Zealand yang mencatat masa terpantas diikuti England dan Kanada pada pusingan kelayakan itu.

Bagaimanapun selepas keputusan kontroversi itu, trio negara jatuh ke tempat kelima terpantas manakala Australia daripada tempat tercorot naik ke tempat ketiga terpantas.

Ini membolehkan Australia layak secara tidak bermoral untuk penentuan gangsa bertemu Kanada manakala New Zealand dan England untuk penentuan emas.

Kontroversi sama turut berlaku membabitkan pelumba negara dalam acara pecut berpasukan wanita apabila gandingan Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd. Adnan juga sepatutnya layak untuk penentuan gangsa.

Namun komisar sekali lagi membenarkan kali ini New Zealand yang menjadi lawan Malaysia di pusingan kelayakan mengulangi perlumbaan itu sekali lagi walaupun jelas pelumba Kiwi itu telah melakukan kesalahan ketika bermula dan sepatutnya dibatalkan penyertaan secara automatik.

Pada perlumbaan ulangan itu, gandingan New Zealand berjaya menewaskan Malaysia dengan mencatat masa kedua terpantas manakala gandingan negara kelima terpantas.

Ini membolehkan New Zealand layak bertemu Australia untuk penentuan pingat emas manakala Malaysia terlepas peluang penentuan gangsa yang mempertemukan England dan Wales.

Sementara itu, kuartet 4km kejar mengejar lelaki negara juga gagal menyinar apabila hanya mampu mencatat masa keenam terpantas daripada tujuh pasukan yang mengambil bahagian.

Gandingan Eiman Firdaus Mohd. Zamri, Irwandie Lakasek, Muhammad Afiq Huznie Othman, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Danieal Edy Suhaidee mencatat masa 4:13.033s jauh berbeza daripada kuartet Australia yang mengungguli pusingan kelayakan itu dengan catatan rekod baharu Sukan Komanwel iaitu 3:52.041s.

Ini membolehkan Australia layak untuk penentuan emas menentang England manakala penentuan gangsa antara Wales dan Afrika Selatan.