Saranan yang dibuat pelumba berusia 29 tahun ini selaras dengan penggunaan teknologi sukan yang semakin hebat digunakan negara-negara di Eropah, supaya pelumba trek Malaysia termasuk dirinya tidak jauh ke­tinggalan dari segi prestasi.

Menurut Azizulhasni, tek­no­logi sukan dan terowong angin dianggarkan RM30 juta yang dicadangkannya itu merupakan rahsia kejayaan Britain mendominasi sukan basikal trek sejak lapan tahun lalu dengan menyaksikan mereka meraih ba­nyak emas semasa temasya di London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

“Kita di Malaysia masih bercakap tentang membangunkan sains sukan tetapi di Eropah, teknologi sukan dalam sukan basikal trek sudah lama diamalkan. Ini antara rahsia yang kita ketahui telah menjadikan Bri­tain dominan dalam acara tersebut.

“Jika anda ingat, saya kalah kepada Jason Kenny (dalam acara keirin Olimpik tahun lalu) pun, jurang masanya agak kecil sahaja. Mungkin kalau berdasarkan prestasi itu, ramai akan kata jurang prestasi saya tidak begitu jauh tetapi untuk menang masih sukar.

“Tetapi dengan kejayaan di kejohanan dunia ini, saya telah tunjukkan bahawa potensi untuk mendapatkan pingat emas di Tokyo 2020 nanti amat besar sekali. Jadi dengan peluang yang terhidang sekarang, kita hanya perlu memaksimumkan teknik latihan kita dengan membina terowong angin dan membangunkan pakej teknologi sukan yang diperlukan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran penyertaannya dalam Program #DARETODREAM anjuran Air Asia yang merupakan satu inisiatif syarikat penerbangan tambang murah itu memberi ins­pirasi kepada atlet muda untuk berjaya dalam sukan.

Tambah Azizul, sekarang menjadi masa terbaik buat Malaysia untuk mengambil peluang tersebut memandangkan sudah ada material, pencapaian dan berada di landasan tepat bagi meraih emas di Tokyo 2020 nanti.

“Saya berharap dengan ada pakej teknologi sukan ini, akan memaksimakan peluang saya untuk kita menang emas di Tok­yo. Kalau kita tidak ambil peluang ini, mungkin negara lain akan berada selangkah di depan kita. Maka kita akan terus ke­tinggalan di belakang.

“Jadi di Olimpik nanti peluang kita untuk menang 50-50. Menerusi penggunaan teknologi sukan ini, kalau boleh kita hendak cuba memaksimumkan peluang tersebut,” ujarnya.