Sambil menyifatkan ia acara yang popular dan diminati banyak negara bukan hanya Malaysia sahaja, Khairy sempat menyindir Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (INAGOC) memandangkan Indonesia tidak mempunyai pelumba yang setaraf dengan Malaysia.

“Kita harap Indonesia dapat timbang semula supaya acara keirin dapat disenaraikan sebab ini bukan berkaitan Azizulhasni sahaja. Kita dapat permintaan daripada banyak negara untuk ia dipertandingkan.

“Lagi pun Azizulhasni bukan juara Sukan Asia. Jadi saya harap Indonesia dapat timbang balik sebab keirin acara yang popular. Pelumba-pelumba dari Jepun, Timur Tengah, Asia Tengah dan China sudah tentu mahu mengambil bahagian.

“Hendak kata acara ini tidak mendapat sambutan di peringkat Asia, saya rasa itu tidak betul. Malah ia merupakan acara bertaraf dunia kerana ada juara dunia beraksi di Sukan Asia 2018.

“Saya harap Indonesia kena faham kerana dia tidak akan menang dalam keirin sebab mereka tidak ada pelumba basikal trek yang bagus. Ini bukan soal hendak menjejaskan pungutan pingat Indonesia tetap ia lebih kepada untuk mengiktiraf bahawa Asia kini sudah memiliki juara dunia dalam acara itu,” katanya ketika diminta mengulas tindakan INAGOC menggugurkan acara kegemaran Azizulhasni itu tahun depan termasuk pecut berpasukan dan 200 meter pecut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu Sukarelawan Hijau Sukan SEA 2017 yang sedang menjalani latihan di Universiti Malaya dekat sini hari ini.

Sukarelawan Hijau seramai 1,000 orang itu adalah petugas yang akan memantau tahap kebersihan sepanjang temasya itu bulan depan selain mendidik untuk kitar semula bahan buangan.

Lebih malang, tindakan INAGOC menggugurkan tiga acara basikal trek bertaraf Olimpik itu disokong Majlis Olimpik Asia (OCA) walaupun ditentang Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).