ABDUL PUHAT MAT NAYAN

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, dakwaan berkenaan perlu diberikan penjelasan memandangkan Perak akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan selain kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan prasarana terbaik bagi penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.

“Kerajaan negeri akan mendapatkan laporan mengenai Velodrom Rakyat daripada KBS,” katanya di sini hari ini.

Abdul Puhat berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menganjurkan acara lumba basikal lebuh raya dan basikal bukit dalam Sukma nanti di Taiping.

“Bagi acara basikal trek pula, kami cadangkan diadakan di Ipoh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pembinaan lain-lain venue untuk Sukma berjalan lancar antaranya pusat akuatik, lapang sasar menembak, Stadium Indera Mulia, Stadium Perak dan juga di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

“Kami akan membuat lawatan ke venue-venue Sukma ini minggu hadapan,” katanya.

Utusan hari ini mendedahkan UCI mengarahkan Velodrom Rakyat, yang baharu selesai dibaik pulih, dirobohkan kerana gagal mengikut spesifikasi pembinaan ditetapkan.

Menurut laporan itu, arahan tersebut dikeluarkan ketika mesyuarat Ahli Lembaga Pengurusan Eksekutif UCI di Beijing, China beberapa hari lalu selepas mendapati kontraktor pembinaan yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja baik pulih yang menelan belanja RM11 juta itu gagal mematuhi status homologation.

Homologation adalah proses mengesahkan semua spesifikasi velodrom yang dibina menepati piawaian UCI.