Begitupun hakikatnya, beliau antara nama besar yang se­ring menjulang Malaysia di pentas antarabangsa sekitar tahun 1970-an.

Jasa dan bakti beliau dalam sukan lumba basikal negara amat besar, bukan sahaja sebagai pelumba, malah Daud turut mencurahkan pe­ngalaman kepada generasi baharu selepas berhenti bergelar atlet negara.

Jaguh lumba basikal negara itu, menghembuskan nafas terakhir pada 11 November 2010 akibat kecederaan parah di kepala selepas keretanya dilanggar dari belakang oleh sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan.

Pada zamannya sebagai pelumba, Allahyarham muncul antara pelumba terbaik negara selepas meraih pingat emas dalam acara trek 1,600 meter lepas beramai-ramai pada Sukan Asia 1970 dan kejayaan itu merupakan titik tolak kepada kecemerlangannya dalam sukan basikal.

Dilahirkan di Batu Pahat, Johor pada tahun 1947, beliau mula menggegarkan arena lumba basikal dengan muncul Juara Terbuka Johor dan Terbuka Melaka pada 1967.

Dua tahun selepas itu, Daud mula mewakili negara dalam Sukan SEAP Yangon 1969 namun pulang dengan tangan kosong.

Kegagalan itu tidak pernah menjadi penghalang kepada dirinya dan pada 1970, Daud berjaya menonjolkan diri kepada kalangan peminat sukan tanah air dengan membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa dari Sukan Asia di Bangkok.

Kerjaya cemerlangnya diteruskan pada tahun berikutnya apabila dia terus memuncak dengan membawa pulang empat pingat emas dari Sukan SEAP 1971 dan kejayaan itu menyaksikan dia menerima anugerah Olahragawan Negara.

Beliau terus menyumbang bakti kepada negara dalam acara basikal apabila turut memu­ngut satu pingat perak Sukan SEAP 1973.

Daud turut mewakili negara dalam Sukan Olimpik Munich (1972) dan Sukan Komanwel yang dilangsungkan di New Zealand pada tahun 1974.

Sebagai mengenang jasanya itu, beliau diberikan penghormatan menyalakan obor Sukan SEA XXI di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tahun 2001.