Walaupun mengakui tidak berdepan masalah besar, pelumba kelahiran Perlis ini berkata, dia berbuat demikian kerana memerlukan rakan sepelatih untuk menyertai acara perlumbaan mata, scratch dan omnium nanti.

“Saya baharu mula berlatih dua minggu yang lalu secara se­rius bagi menghadapi ACC. Namun ketiadaan pelumba wanita sebagai rakan sepelatih memaksa saya berlatih dengan pelumba lelaki.

“Tetapi itu bukan halangan untuk saya meningkatkan prestasi. Saya harap dapat lakukan yang terbaik di ACC nanti sebelum beraksi pula di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia April ini jika disenaraikan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM),” katanya ketika dihubungi.

Ketika ini, Jupha, 24, berlatih di bawah bimbingan Hanizam Basri di Nilai tetapi tetap memendam hasrat dapat berlatih di luar negara jika terpilih ke Sukan Komanwel.

“Kalau boleh saya mahu mencipta pencapaian lebih baik di ACC kerana saya bakal menyer­tai tiga acara endurance. Saya harap pencapaian di situ dapat meyakinkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghantar saya berlatih di luar negara,” tegasnya.

Selain Jupha, skuad trek negara turut mempunyai wakil wanita dalam acara pecut di ACC nanti iaitu Fatehah Mustapa, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi.

Sebagai rekod, Jupha pernah memenangi pingat perak acara perlumbaan mata dan gangsa dalam acara scratch pada ACC 2016 di Jepun sebelum ini. ACC Trek 2018 dijadual berlangsung di Nilai dari 16 hingga 20 Februari ini.